Saturday 9 July 2011

Pandangan islam terhadap cinta

Cinta, menurut pandangan Islam, merupakan satu perasaan yang suci. Islam adalah agama fitrah, sedang cinta itu sendiri pula adalah fitrah manusiawi. Allah SWT yang menciptakan manusia, maka Dia jugalah yang mewujudkan perasaan cinta di hati manusia. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan mencintai, bahkan Rasulullah SAW menganjurkan agar cinta tersebut diutarakan.


"Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu bahawa dia mencintainya."
(HR Abu Daud dan At-Tirmidzi)


Pandangan yang mengatakan bercinta ditegah sama sekali dalam Islam adalah tidak tepat. Hakikatnya, muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai, bahkan dianjurkan agar mendapat keutamaan-keutamaannya. Islam sama sekali tidak membelenggu cinta, kerana itu Islam menyediakan saluran terbaik untuk itu, tidak lain tidak bukan, melalui ikatan pernikahan, yang mana sepasang manusia lelaki dan perempuan diberikan kebebasan untuk bercinta.




Ayat di atas merupakan jaminan bahawa cinta dan kasih sayang akan Allah tumbuhkan dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah (setelah menikah). Janji Allah adalah jelas dan pasti, jadi tidak perlulah diberikan alasan untuk jatuh cinta dahulu barulah berani menikah, atau bercouple dahulu baru menikah, sehingga yang menyatukan pasangan ini adalah si syaitan durjana (na3udzubillaahi min dzaalik). Di sini jelas bahawa Islam membenarkan cinta, tetapi haruslah mengikut batasan yang ditetapkan, supaya nanti tidak timbul fenomena kerosakan pergaulan dalam masyarakat.


# Enam Peringkat Cinta

Cinta itu amatlah luas. Satu perasaan yang boleh diberikan kepada sesiapa/ apa-apa sahaja. Justeru itu, Islam memberikan garis panduan mengenai peringkat-peringkat cinta, kepada siapa/ apa cinta harus didahulukan dan diutamakan, dan kepada siapa/ apa pula cinta itu harus diakhirkan. Tidak wajarlah bagi kita untuk menyetarakan kesemuanya.


"(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Al-Baqarah: 165)


Menurut Syaikh Ibn Al-Qayyim, seorang ulama di abad ke-7, ada enam peringkat cinta (maratibul-mahabah), iaitu:


1) Peringkat 1 (paling tinggi/ agung): tatayyum, yang merupakan hak Allah semata-mata.


"Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Al-An'am: 162)

"…Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…" (Al-Baqarah: 165)


Jadi, ungkapan-ungkapan seperti "Dikaulah yang sentiasa bertakhta di hatiku, bersemi di dalam qalbuku", "Ku sebut namamu di setiap degup jantungku", "Cintaku hanya untukmu," dan sebagainya seharusnya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata. Ini adalah kerana Dia lah yang memberikan kita segala nikmat serta kebaikan sejak kita dilahirkan, bahkan sejak dari dalam rahim ibu lagi.

Jangan pula dilakukan sesama manusia! Baru sahaja diberi sekelumit cinta dan kenikmatan dari buah hati, terus hanyut lalu membuat keputusan menyerahkan jiwa raga kepadanya, sedangkan itu merupakan hak Allah! Lupa kepada Pemberi Nikmat…


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir."
(Al-Baqarah: 164)


2) Peringkat ke-2: 'isyk, yang hanya merupakan hak Rasulullah SAW. Cinta terhadap Rasulullah SAW bermaksud cinta yang melahirkan rasa hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya, dan sebagainya, namun bukanlah untuk menghambakan diri kepadanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihimu serta mengampunkan dosamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Aali Imran: 31)


3) Peringkat ke-3: syauq, iaitu cinta antara mukmin dengan mukmin yang lainnya. Ini termasuklah cinta yang wujud antara hubungan suami isteri dan juga hubungan ibubapa dan anak, yang mana ianya akan membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.

4) Peringkat ke-4: shababah, iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwah Islamiah. Cinta yang membuatkan kita ingin selalu mendampingi sahabat seagama kita demi memartabatkan lagi agama Islam melalui perkongsian ilmu serta dakwah.

5) Peringkat ke-5: 'ithf (simpati), yang ditujukan kepada sesama manusia secara keseluruhannya, baik sesama Muslim mahupun dengan yang bukan Muslim. Rasa simpati ini melahirkan kecenderungan untuk menyelamatkan manusia, berdakwah, dan sebagainya.

6) Peringkat ke-6 adalah cinta yang paling rendah dan sederhana, iaitu cinta/ keinginan kepada selain dari manusia (cinta kepada harta benda umpamanya). Namun demikian, keinginan ini sebatas intifa' (pendayagunaan/pemanfaatan).


# Hubungan Cinta dan Keimanan

Dalam Islam, cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan iman akan membawa seseorang itu kepada kemuliaan; sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan iman akan menjatuhkan seseorang itu ke jurang kehinaan.

Cinta dan keimanan laksana sepasang sayap burung. Imam Hasan Al-Banna mengatakan bahawa "dengan dua sayap inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan." Bagaimana tidak, jikalau iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa iman akan jatuh ke jurang kehinaan. Iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan begitulah juga sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa iman.


"Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah dia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT." (HR Imam Ahmad, dari Abu Hurairah)

Menyingkap kembali kisah para sahabat, tidak hairanlah apabila kita mengetahui 'Uqbah bin Al Harits telah bercerai dengan isteri yang sangat dicintainya Ummu Yahya, atas persetujuan Rasulullah SAW hanya kerana pengakuan seorang wanita tua bahawa dia telah menyusukan pasangan suami isteri itu di saat mereka masih bayi (Allah mengharamkan pernikahan saudara sesusuan).

Demikian pula kecintaan Abdullah bin Abu Bakar kepada isterinya, yang terkenal kecantikannya, keluhuran budinya dan keagungan akhlaknya. Ketika mengamati bahawa kecintaannya anaknya itu telah melalaikan Abdullah dalam berjihad di jalan Allah, Abu Bakar memerintahkannya untuk menceraikan isterinya, lalu Abdullah memandang perintah tersebut dengan kacamata iman, sehingga dia rela menceraikan belahan jiwanya itu demi mempererat kembali cintanya kepada Allah SWT. 

Subhanallah, pasangan-pasangan tersebut telah bersatu kerana Allah, saling mencintai kerana Allah, bahkan telah bercinta kerana Allah, namun mereka juga rela berpisah kerana Allah! Bagi mereka, cinta kepada Allah adalah segala-galanya dan harus diutamakan.

Lalu bagaimana pula halnya dengan pasangan yang terlanjur jatuh cinta dan bercouple sedangkan mereka ini belum bernikah? Bagi mereka ini, hanya ada dua jalan penyelesaian: (i) bersegeralah bernikah, ataupun (ii) berpisah kerana Allah, nescaya akan terasa lazat dan manisnya iman. Dan janganlah mencintai 'si dia' lebih daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.



Dari Anas RA, Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Ada tiga perkara dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dilempar ke dalam api." (HR Bukhari dan Muslim)





Kesimpulannya di sini, Islam tidak melarang umatnya untuk saling mencintai serta berkasih sayang sesama manusia, namun ianya haruslah berpandukan Shariah dengan mematuhi batasan serta mengikut saluran yang betul. Dan untuk bercinta, Islam mengajar kita supaya melalui peringkat cinta yang sebenarnya dengan sentiasa mengutamakan cinta kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua beroleh nikmat cinta yang sebenar dari-Nya... Aamiiin..

No comments:

Post a Comment